Updated: Sat, 14 Dec 2013 23:14:28 GMT | By The Malaysian Insider : Rencana

Di manakah Malaysia dalam Asean Economic Community? - Badrul A Bakar

Pada hujung minggu lalu, penulis berkesempatan bersama keluarga menyeberang sempadan ke negara Thai. Konon ingin melarikan diri sebentar daripada lambakan kerja hakiki dan kerja yang dicari sendiri di Sungai Petani. Maka memandulah penulis membawa bersama tiga saudara perempuan yang sangat disayangi dan empat anak saudara yang amat dikasihi ke...


Pada hujung minggu lalu, penulis berkesempatan bersama keluarga menyeberang sempadan ke negara Thai. Konon ingin melarikan diri sebentar daripada lambakan kerja hakiki dan kerja yang dicari sendiri di Sungai Petani. Maka memandulah penulis membawa bersama tiga saudara perempuan yang sangat disayangi dan empat anak saudara yang amat dikasihi ke pulau peranginan Phuket dan Krabi.

Selain mahu bercuti, memang nawaitu diri yang sudah bosan dengan "headlines" di mana-mana media di Malaysia baik yang arus perdana, mahupun yang bukan arus perdana, baik media kendalian korporat yang dikawal pemerintah, atau media kendalian individu persendirian bercorak peribadi yang menggunakan platform media sosial.

Masing-masing berlumba-lumba untuk menyampai dan berkongsi cerita tentang beberapa sosok terkenal iaitu, Ustaz Kazim Elias, Paul Walker, Zain Saidin dan Rozita Che Wan. Apa signifikannya membincangkan secara berlebihan tentang individu ini sukar difahami. Yang nyata, kisah mereka hampir menenggelamkan berita tentang Kuantan yang sudah pun tenggelam pada waktu itu.

Menggunakan laluan Bukit Kayu Hitam-Danok, penulis terpegun dengan perkembangan industri perhotelan di sebelah Danok. Semakin banyak hotel yang berdiri megah di bandar itu, tetapi tidak pula di sebelah Bukit Kayu Hitam. Pelik kenapa di negara yang sedang menghampiri status berpendapatan tinggi ini tidak banyak hotel seperti di negara gajah putih itu yang kini terkenal dengan gelaran "the Detroit of the East". Pasti ada sebab musababnya.

Pedulikan tentang hotel, yang pasti menyusur jalan raya dan lebuh raya di Thai lebih menyeronokkan walaupun agak menyakitkan mata kerana rumput rampai menjalar dan menghijau di bahu kiri dan kanan, serta di pembahagi jalan. Juga sakit mata kerana wayar elektrik dan telefon yang berselirat mengiringi perjalanan. Walaupun sakit mata tetapi tidak sakit hati kerana permukaan jalan raya sungguh rata, sukar ditemui lopak-lopak gergasi yang menjahanamkan tayar dan rim kereta, serta paling tidak tercapai oleh minda, ialah ketiadaan tol.

Sepanjang pengembaraan, puas kami mencari tol, di Haadyai, Pattalung, Trang, Krabi, Phang Nga, Phuket, Satun, namun hampa tiada berjumpa. Hairan bagaimana negara yang tiada sumber hidrokarbon ini mampu menyediakan prasarana yang bagus kualiti. Mungkinkah hasil magis bomoh Siam? Ketika sedang jalan-jalan mencari pantai di Phuket, penulis terdengar beberapa istilah yang menangkap telinga semasa mendengar sebuah program radio dalam bahasa Thai. Istilah itu ialah AEC.

Kali pertama penulis dengar istilah AEC adalah semasa menghadiri sebuah forum tentang Asean di Universiti Utara Malaysia. Acara tersebut diadakan bersempena dengan hari Asean. AEC adalah singkatan kepada Asean Economic Community. Ketiga-tiga penceramah yang datang daripada institusi yang berbeza mendakwa setiap negara anggota terutama Malaysia bakal meraih laba besar hasil penyertaan dalam AEC. Benarkah begitu?

Yang ketara, Thai membincangkan tentang AEC di ruang publik. Ada usaha penerangan oleh negara tersebut bagi mempersiapkan rakyatnya berhadapan dengan era AEC.

Sebelum itu, pernah penulis bertanyakan tentang AEC kepada seorang rakan yang penulis sangat kagumi dan dipandang tinggi yang kini merupakan seorang pegawai tadbir diplomatik (PTD). Hampa, kecewa. Entah mengapa soalan berkenaan AEC langsung tidak mendapat perhatian beliau. Pada hemat penulis soalan yang bersifat am dan tidak melibatkan kerahsiaan ini sepatutnya dapat ditangani oleh seorang pegawai PTD dengan mudah.

Maka teringat, semasa minum-minum selepas berceramah bagi sebuah unit dalam sebuah kementerian di Putrajaya tidak lama dulu penulis diperkenalkan dengan suatu istilah luar biasa untuk PTD oleh seorang pegawai berpangkat tinggi yang pasti bukan seorang PTD. Menurut beliau PTD ialah "pegawai tanpa direction". Sungguh lucu, terbahak-bahak kami tergelak. Terang beliau, istilah tersebut merujuk kepada PTD yang didakwanya tidak mempunyai kepakaran khusus dalam sesuatu bidang.

Ternyata, ia suatu persepsi oleh penjawat awam lain tentang sekumpulan pegawai peringkat Persekutuan yang didakwa berprestij tinggi. Ironinya, kini mereka semakin tidak dipandang tinggi walaupun mereka berpendapatan tinggi dan sangat mudah pula menikmati lonjakan gaji.

Ketepikan tentang persepsi terhadap PTD, ia mungkin timbul ekoran iri hati. Paling utama ialah AEC yang pasti tiba. Rakyat terbanyak wajib diberikan pendedahan dan penerangan tentang AEC. Baik dan buruknya, kelebihan dan kekurangannya, kekuatan dan kelemahannya, serta peluang dan ancamannya.

Semuanya perlu dipersembahkan kepada rakyat jelata agar mereka bersedia. Jika mahu perbaiki indeks demokrasi, mungkin rakyat boleh diberikan peluang membuat keputusan menerusi referendum. Ia bukan sesuatu yang terlalu asing kerana penduduk Sabah dan Sarawak pernah berpengalaman diberikan hak menentukan masa depan sendiri melalui pungutan suara sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Kembali kepada AEC. Regionalism bukan sesuatu yang baru. Ia didakwa reaksi kepada globalisasi yang memaksa kepada liberalisasi ekonomi yang pernah dinyatakan sebagai Tina (there is no alternative) oleh Lady Margaret Tatcher (yang merupakan pemuka gerakan Neo-Liberal). Walaupun regionalism didakwa berupaya mengekang gelombang globalisasi iaitu tidak membuka sempadan ekonomi sesebuah negara kepada dunia lepas, walaupun didakwa ia membentuk kerjasama erat di antara negara anggota dalam menghadapi ancaman ekonomi global, tetapi tidak boleh dinafikan regionalism mendedahkan ekonomi negara-negara anggota kepada persaingan yang hebat di antara mereka sendiri. Kewujudan sebuah Kesatuan Eropah (EU) sebagai sebuah pertubuhan serantau yang sarat elemen dan ciri-ciri negara (state) menjadikan ia bukan sekadar sebuah blok ekonomi.

Apakah hala tuju Asean? Kemunculan AEC menunjukkan Asean semakin menjadi seperti EU. Dahulu Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC), kemudian mengintegrasi menjadi Komuniti Eropah (EC), dan seterusnya berintegrasi dengan lebih erat lagi sebagai EU. Adakah Asean menuju ke arah AU (Asean Union)?

Yang ketara, akan ada sektor dalam negara yang bakal mengaut untung besar hasil penyertaan Malaysia dalam AEC, tetapi ada juga yang bakal tersungkur. Sektor korporat, pemodal asing (FDI), dan syarikat multi-nasional (MNE/MNC) dalam Malaysia mungkin meraih laba besar hasil daripada status Asean sebagai pengeluar dan pasaran tunggal. Tetapi bagaimana pula dengan sektor SMI/SME yang dimiliki oleh rakyat tempatan? Mampukah sektor ini mengekang persaingan? Namun, yang paling perlu diberi perhatian ialah sektor pekerjaan serta harga barang dan perkhidmatan.

Penulis tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan sebagai warganegara Malaysia di bumi Malaysia di era AEC. Hal ini berikutan ciri-ciri AEC yang kelihatan menyerupai Kesatuan Eropah (EU). Di kalangan 28 negara anggota EU wujud kebebasan pergerakan barangan dan perkhidmatan, tiada sekatan pengaliran pelaburan dan modal, dan yang paling memberikan kesan langsung kepada rakyat terbanyak ialah kebebasan pergerakan tenaga kerja.

Cuba untuk tidak skeptik, cuba untuk tidak terlalu negatif kerana percaya AEC pasti ada sisi positifnya. Namun, penulis tidak sendirian kerana orang nombor satu CIMB, Datuk Seri Nazir Razak sendiri gusar dengan implementasi AEC (http://www.thestar.com.my/Business).

Pada hari ini, belum pun dibuka sekatan dengan sepenuhnya, sudah banyak buruh asing menghuni negara. Apakah Malaysia akan menerima lambakan pekerja asing (sama ada buruh mahir, separa mahir atau tidak mahir) sehingga menyekat peluang pekerjaan untuk warganegara sendiri? Sekiranya perkara tersebut berlaku ia pasti akan mengimpak kepada masalah sosial, ekonomi, keselamatan insan (human security) dan kedaulatan.

Paling buruk adalah masalah imigran yang tidak berupaya untuk berintegrasi ke dalam budaya perdana negara. Adakah kita sudah bersiap siaga dengan kebarangkalian tersebut?

Keadaan tersebut telah pun berlaku di United Kingdom (UK). Kelmarin (13 Disember 2014) Perdana Menteri Britain, David Cameron mencadangkan agar imigran dari negara anggota yang miskin dalam EU disekat daripada berhijrah ke UK (http://www.telegraph.co.uk).

Selanjutnya, walaupun sekatan dalam bentuk tariff sedia dikurangkan kini bagi barangan buatan negara Asean, tetapi barangan dan perkhidmatan berterusan naik harga di negara ini. Apa jaminan terhadap kestabilan harga apabila pergerakan barangan dan perkhidmatan sangat mudah masuk dan keluar? Adakah akan wujud istilah mampu milik dalam sektor hartanah negara apabila pelaburan dan modal mudah masuk dan keluar? Adakah pada waktu itu pemerintah akan mencadangkan warganya membeli hartanah di negara lain kerana hartanah di dalam negara sendiri hanya mampu dibeli oleh warga asing? Juga, apa jaminan syarikat milik negara (GLC) tidak diambil alih oleh syarikat gergasi daripada negara anggota yang lain? Apa jaminan Malaysia tidak akan muflis seperti Greece yang menganggotai EU? Akhir sekali, apa jaminan warga Malaysia tidak akan menjadi imigran di negara anggota yang lain?

Sebagai warga yang patriotik, penulis juga tertanya-tanya di manakah Malaysia dalam AEC kelak? Menjadi peneraju atau sekadar melukut di tepi gantang?

Sehingga kini, EU tidak sepenuhnya terintegrasi. Ada pihak yang skeptik dengan EU sebagaimana UK yang terus mengguna pakai Pound Sterling. Ditakuti Jerman menguasai Eropah secara total. Demikian juga dengan kemasukan Turki sebagai anggota EU. Kepesatan ekonomi Turki dan keremajaan populasi membolehkannya menguasai EU yang sedang dalam proses penuaan daripada sudut demografi penduduk. Kemasukan Turki ke dalam EU dan dengan AKP (parti yang dipimpin Erdogan) yang masih berkuasa dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya the "Ottomanization of Europe".

Terkini, dilema Ukraine, rakyat mahu meneruskan "the EU Dream" sebagaimana rakan-rakan Slav seperti Poland, Republik Czech, Slovakia dan Bulgaria yang secara relatifnya miskin. Mereka tidak mahu lagi dirantai oleh Russia. Tetapi pemerintah Ukraine lebih berminat untuk terus bersama Russia membentuk EAU (Eurasian Union). Presiden Putin mengesyorkan sebuah organisasi serantau yang merangkumi kebanyakannya negara bekas Kesatuan Soviet. Sekiranya menjadi realiti, boleh dijangkakan akan berlakunya satu lagi gelombang "the Russification of Eurasia" selepas era Empayar Russia dan era Soviet.

Justeru, apakah tidak mustahil akan berlakunya "the Indonesianization of South East Asia" sekiranya EAC mengambil tempat? Mungkin tidak disedari di Malaysia, tetapi dunia sedang memerhatikan Indonesia sama ada dengan penuh minat atau hati-hati. Mendiang Huntington juga pernah mengatakan sekiranya berlaku perang dunia ketiga Indonesia akan muncul sebagai kuasa besar dunia.

Selepas 1997, Indonesia bukan hanya mengalami reformasi politik, bahkan ekonomi. Negara jiran yang dulu pernah menjadi pembekal utama buruh domestik di Malaysia kini sudah menjadi ekonomi yang bertenaga. Maka, di manakah Malaysia dalam ruang lingkup AEC?

Sekiranya AEC adalah Tina, sekiranya AEC adalah suatu ketentuan bak kata Ustaz muda popular Fathul Bari, maka pasti ramai mengimpikan Malaysia di era AEC sebagai peneraju ekonomi dan politik Asean.

Sebagai negara berpendapatan paling tinggi di Asean maka sewajarnya pada waktu itu tiada tol yang menyekat pergerakan kenderaan di lebuh raya, harga barang dan perkhidmatan yang rendah berikutan lambakan produk negara jiran. SMI dan SME yang berdaya maju kerana dapat mengeksploit tenaga buruh, sumber asli dan sumber sekunder murah dari negara jiran. SMI dan SME yang berjaya menjadi gergasi kerana mudah meneroka pasaran Asean. Syarikat Malaysia mampu mengambil alih syarikat negara-negara Asean lain, dan warga Malaysia yang bukan hanya mampu memiliki hartanah di negara sendiri bahkan di mana-mana lokasi dalam Asean.

Tetapi, sebelum mimpi jadi realiti, rakyat berhak tahu, di era media sosial tindakan negara yang gemar berahsia bukanlah tindakan bijak. Perbuatan menyorok butiran seperti perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) hanya mengundang emosi. Sampai bilakah salah kendali sesuatu isu mampu dikambus oleh retorik kitar semula yang memualkan seperti Syiah?

Yang ketara, apabila AEC mengambil tempat, menyeberang sempadan di Bukit Kayu Hitam-Danok yang sememangnya sedia ada mudah itu pasti akan jadi sangat mudah. Pasti industri perhotelan di Danok tidak sepesat sekarang. – 15 Disember, 2013.

* Penulis ialah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Kedah.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

0Comments